ACL 2023-24: JDT Hadap Juara K-League & Naib Juara J-League Dalam Kumpulan I
August 24, 2023 Hafizuddin Omar

Juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu semula dengan dua buah kelab yang dihadapinya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) edisi lalu pada edisi kali ini.

Berdasarkan hasil keputusan undian untuk edisi kali ini pada hari ini, skuad berjulukan Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari telah diundi dalam Kumpulan I bersama-sama Ulsan Hyundai (Korea), Kawasaki Frontale (Jepun) dan BG Pathum United (Thailand).

Untuk makluman semua, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale hadir ke saingan elit bola sepak asia ini selaku juara K-League dan naib juara J-League 2022 masing-masing.

Manakala, BG Pathum pula meraih slot ini selepas mencatatkan kemenangan ke atas kelab China, Shanghai Port dalam perlawanan play-off baru-baru ini.

Saingan peringkat kumpulan ACL pada edisi kali ini akan bermula 18-20 September (Hari Perlawanan 1) diikuti dengan 2-4 Oktober (hari Perlawanan 2), 23-25 Oktober (Hari Perlawanan 3), 6-8 November (Hari Perlawanan 4), 27-29 November (Hari Perlawanan 5) dan 4-6 sert 12-13 Disember (Hari Perlawanan 6).

Pada edisi lalu, JDT turut diundi dalam Kumpulan I bersama-sama Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai. Berbezanya pada saat itu, kelab China, Guangzhou diundi untuk melengkapkan kumpulan terbabit. 

Saingan ACL 2022 menyaksikan JDT yang mendapat bimbingan Benjamin Mora berjaya mencipta sejarah mara ke peringkat kalah mati buat julung kalinya. Sejarah tersebut ditempa selepas JDT muncul juara Kumpulan I hasil daripada meraih empat kemenangan dan satu keputusan seri sekaligus mengumpul 13 mata.

Bagaimanapun, perjalanan mereka dalam kancah ACL terkandas di peringkat Pusingan 16 setelah tumpas dengan jaringan besar 0-5 di tangan Urawa Red Diamonds.

Featured Image: AFC

Komen