Artikel

Kejohanan Dunia BWF: Lee Zii Jia Ulang Pencapaian Tahun Lalu

Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia kempunan untuk mara lebih jauh dalam Kejohanan Dunia BWF 2023 dan terpaksa akur mengulangi pencapaiannya sama seperti tahun lalu – mara setakat Pusingan 16.

Ketika turun beraksi pada peringkat tersebut awal pagi tadi (waktu Malaysia), Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-13 dunia tumpas kepada pemain Denmark, Anders Antonsen secara “straight set” dengan skor 18-21 dan 17-21.

Bagaimanapun, kemenangan buat Antonsen yang berada di ranking ke-12 itu tidak datang dengan mudah. Pemain berusia 26 tahun ini memerlukan hampir satu jam sebelum dapat mengalahkan dan menyekat Zii Jia ke peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan keempat Zii Jia di tangan Antonsen. Secara keseluruhannya, kedua-dua pemain ini telah bertemu sebanyak lima kali di pentas kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, Antonsen yang melakar kemenangan serta meraih kemaraan ke peringkat suku akhir akan bertemu pemain Jepun, Kenta Nishimoto untuk merebut tiket ke saingan separuh akhir.

Terdahulu, Antonsen mara ke Pusingan 16 selepas menumpaskan seorang lagi wakil negara iaitu Ng Tze Yong di Pusingan 32 juga secara “straight set” dengan skor 24-22 dan 21-16.

Sebagai tambahan, ketika beraksi di Kejohanan Dunia BWF 2022, perjalanan Zii Jia tersekat di Pusingan 16 selepas tumpas kepada pemain China, Zhao Jun Peng menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 19-21, 21-11 dan 19-21.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

komen