Kejohanan Dunia BWF: 3 Wakil Negara Lakar Kemaraan Ke Suku Akhir
August 25, 2023 Hafizuddin Omar

Hanya tiga wakil Malaysia yang berjaya melakar kemaraan ke peringkat suku akhir di Kejohanan Dunia BWF 2023.

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menjadi wakil negara yang pertama melakar kemaraan ke peringkat tersebut selepas berhasil menumpaskan lawannya, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara di Pusingan 16, malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Pearly-Thinaah mencipta kejutan menumpaskan pasangan yang Jepun yang diletakkan sebagai pilihan keempat itu secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 22-20 dalam tempoh masa 48 minit.

Kemenangan itu sekaligus membawa mereka yang kini berada di ranking ke-11 dunia bertemu pasangan China yang diletakkan sebagai pilihan keenam, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu di peringkat suku akhir.

Tidak lama kemudian, beregu campuran No.2 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mengikuti jejak langkah kemaraan tersebut apabila berjaya membenam gandingan Perancis yang menghuni ranking kelapan dunia, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Pertarungan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengambil masa sehingga 74 minit sebelum dapat mengesahkan kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-19 dan 21-12.

Untuk makluman, di peringkat suku akhir nanti, gandingan yang semakin menyinar ini akan berhadapan dengan pasangan No.2 dunia dari Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino untuk merebut tempat ke peringkat separuh akhir.

Akhir sekali, juara bertahan merangkap beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul wakil terakhir dari Malaysia mara ke suku akhir setelah berhasil melepasi ujian daripada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020, Lee Yang dan Wang Chi-lin.

Dalam pertarungan itu, Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-18 dalam tempoh masa 43 minit permainan sekaligus menemukan mereka dengan beregu China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi.

Sementara itu, empat lagi wakil negara yang terdiri daripada Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun serta Lee Zii Jia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan ini selepas tumpas kepada lawan masing-masing di Pusingan 16.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen