Atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin menempa rekod dunia yang baharu ketika beraksi di Kejohanan Dunia Para Powerlifting 2023 di Dubai pada Khamis.
Beraksi dalam kategori 72 kilogram (kg), rekod baharu tersebut hadir setelah atlet kelahiran Sarawak berusia 24 tahun ini melakukan angkatan seberat 231kg pada percubaan ketiga dengan jayanya.
Percubaan tersebut sekaligus memperbaharui rekod dunia yang turut dipegangnya sebelum ini dengan bebanan seberat 230kg diciptanya ketika beraksi di Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11 pada tahun 2021.
Pada masa yang sama, angkatan seberat 231kg itu turut menghadiahkannya pingat emas.
Kilauan pingat itu menjadi miliknya apabila pencabar terdekatnya, atlet Itali, Donato Talesca sekadar melakukan angkatan terbaiknya seberat 202kg sekaligus membawa pulang pingat perak.
Manakala pingat gangsa pula diraih oleh atlet Uzbekistan, Bekzod Jamilov menerusi angkatan seberat 200kg.
Untuk makluman, Bunyau merupakan atlet yang sama menyumbangkan pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya Paralimpik 2020 di Jepun.
Ketika beraksi di temasya berkenaan, Bunyau melakukan percubaan untuk mengangkat bebanan seberat 231kg untuk memecah rekod dunia yang diciptanya itu. Namun begitu, percubaannya tidak dapat dijayakan.