22 Pasukan Sahkan Penyertaan Le Tour de Langkawi 2023
August 25, 2023 Hafizuddin Omar

Pihak penganjur tampil memaklumkan sebanyak 22 buah pasukan mengesahkan penyertaan mereka dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-27 yang akan berlangsung dari 22 hingga 30 September2023 kelak.

Senarai 22 buah pasukan itu dimulai dengan Astana Qazaqstan Team – pasukan dari Kazakhstan berstatus UCI World Team – yang telah pun mengesahkan kemunculannya sekitar pertengahan bulan baru-baru ini.

Terbaru, EF Education-Easypost dari Amerika Syarikat (AS) menjadi peneman kepada Astana Qazaqstan Team yang berstatus UCI World Team untuk turut sama beraksi dalam perlumbaan kali ini.

Sementara itu, lapan buah pasukan lagi adalah berstatus UCI Proteam yang terdiri daripada Caja Rural-Seguros Rga, Equipo Kern Pharma, Euskaltel-Euskadi (Sepanyol), Green Project – Bardiani CSF – Faizane, Team Corratec – Selle Italia (Itali), Human Powered Health (AS), Tudor Pro Cycling Team (Switzerland) dan Bolton Equities Black Spoke Pro Cycling (New Zealand).

Manakala 11 buah pasukan lagi adalah berstatus UCI Continental seperti Terengganu Polygon Cycling Team (Malaysia), 7Eleven Cliqq –  Air21 By Roadbike Philippines (Filipina), Nusantara Cycling Team (Indonesia), Hengxiang Cycling Team, Li Ning Star, Giant Cycling Team (China), St George Continental Cycling Team (Australia), KSPO Professional (Republik Korea), JCL Team Ukyo (Jepun), Roojai Online Insurance dan Thailand Continental Cycling Team (Thailand).

Akhir sekali, skuad berbasikal lebuhraya negara iaitu Malaysia National Team yang diasuh oleh jurulatih, Mohd Yusuf Abdul Nasir melengkapkan jumlah 22 pasukan bertanding di LTdL pada kali ini.

Untuk makluman semua, edisi LTdL pada kali ini merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Sebanyak lapan peringkat dipertandingkan dan ianya akan membuka tirai di Kerteh, Terengganu dan akan berakhir di Kuala Lumpur City Center (KLCC).

Pada masa yang sama, Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail ketika bercakap dalam sidang media semalam turut memberi jaminan dan pengesahan bahawa perlumbaan berprestij dilangsungkan sekaligus meleraikan sebarang keraguan yang pernah dibangkitkan ekoran sambutan kurang memberangsangkan daripada barisan penaja perlumbaan.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

Komen