Skuad Kebangsaan Arab Saudi Ambil Khidmat Bekas Ketua Jurulatih Itali
August 28, 2023 Hafizuddin Omar

Berbaki sekitar empat bulan sahaja lagi sebelum berlangsungnya Piala Asia 2023, Persekutuan Bola Sepak Saudi (SAFF) mengumumkan mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Itali iaitu Roberto Mancini.

Mancini menerusi laman sosialnya turut mengesahkan perlantikan dirinya sebagai ketua jurulatih bagi skuad bola sepak berjulukan The Green Falcons tersebut pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, jurulatih yang bakal berusia 59 tahun ini diberikan kontrak selama empat tahun. Ini akan menyaksikan Mancini turut dipertanggungjawabkan untuk membimbing Arab Saudi ke saingan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 selain menghadapi Piala Asia 2023.

Untuk makluman, pengumuman perlantikan itu hadir dua minggu selepas Mancini meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad berjulukan The Azzurri.

Mancini yang membimbing Itali sejak 2018 cukup diingati akan kejayaannya membawa The Azzurri menjuarai Euro 2020 dengan menumpaskan England.

Bagaimanapun, namanya turut tercalit dalam lipatan sejarah bola sepak Itali sebagai ketua jurulatih yang gagal membawa The Azzurri ke pentas Piala Dunia.

Sebagai tambahan, Mancini akan mengemudi perlawanan pertamanya bersama Arab Saudi dengan menentang Costa Rica pada 8 September diikuti Republik Korea pada 12 September. Kedua-dua perlawanan tersebut akan berlangsung di St. James Park – stadium milik Newcastle United.

Featured Image: Nazionale Italiana di Calcio

Komen