Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC bertindak menamatkan khidmat pengarah teknikal, Kamal Khalid dan pengurus pasukan, Ong Eng Hua dengan serta-merta.
Ianya susulan prestasi hambar skuad senior Penang FC dalam kancah Liga Super termasuk kegagalan skuad berjulukan Harimau Kumbang melangkah ke pusingan seterusnya saingan Piala Malaysia musim ini.
“Penang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat yang telah diberikan sepanjang mereka bersama Kelab dan pasukan.” ujar Exco Belia, Sukan & Kesihatan Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen mewakili pihak pengurusan Penang FC.
Susulan pengumuman terbabit, pihak pengurusan Penang FC memaklumkan ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt akan turut memainkan peranan sebagai pengurus pasukan menggantikan kekosongan ditinggalkan Eng Hua terbabit.
Difahamkan, langkah pembaharuan menyeluruh ini adalah untuk membawa perubahan drastik dalam tadbir urus dan penambahbaikan kepada pasukan, bagi memenuhi harapan dan aspirasi para penyokong dan peminat pasukan Penang FC.
Semalam, Penang FC bimbingan Yee Fatt ini merekodkan kekalahan di tangan PDRM FC. Ianya merupakan kekalahan ketujuh berturut-turut dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Sebagai rekod, kali terakhir Penang FC meraih kemenangan adalah ketika bertemu Kelantan FC dalam saingan Liga Super pada 8 Julai lalu dengan keputusan 4-3.
Featured Image: Penang FC
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!