Kejohanan Astro Badminton Cup (ABC) 2023 yang julung kalinya diperkenalkan oleh Astro buat pelanggannya berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta dari semua lapisan masyarakat.
Dilangsungkan selama tiga hari baru-baru ini di bertempat di Setia Badminton Academy, ianya dianjurkan bagi memberikan pelanggannya untuk merasai pengalaman eksklusif dan merebut hadiah lumayan bernilai RM30,000.
Selain itu, kejohanan ini turut menjadi batu loncatan buat pemain muda tempatan yang berbakat untuk merasai pengalaman bermain dalam saingan kompetitif.
Bukan itu sahaja, peserta juga mendapat peluang untuk bermain dan beramah mesra bersama olimpian dan pemain negara yang hadir untuk merancakkan lagi kejohanan ini seperti Goh V Shem, Chan Peng Soon, Low Juan Shen dan Nur Mohd Azriyn Ayub.
Pemain beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem melihat dengan adanya program sebegini lebih ramai bakat baru sukan badminton dapat diketengahkan serta dapat mempromosi gaya hidup sihat dan aktif dikalangan masyarakat.
“Saya menyokong inisiatif Astro mengadakan kejohanan di peringkat komuniti seperti ini dimana para pemain elit negara juga dapat peluang bersama-sama untuk aktif menyalurkan tenaga dan berkongsi pengalaman mereka dalam program yang sudah pasti dapat memberi inspirasi kepada mereka, ” katanya.
Manakala pemenang kategori beregu campuran yang juga telah dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MVP), Chung Kin Seng berkongsi keterujaannya mendapat peluang buat pertama kali bermain dalam kejohanan professional seperti ini dalam kategori beregu. Kin Sen merasakan kejohanan ini menjadi platfrom buat pemain-pemain badminton sosial seperti dirinya untuk mempamerkan potensi diri masing-masing.
“Ini adalah pendedahan terbaik buat pemain-pemain muda yang dilihat sebahagiannya begitu menyerlah dan mungkin membuka ruang kepada mereka untuk bermain dengan pasukan-pasukan elit pada satu hari nanti. Saya berharap lebih banyak kategori yang akan dibuka terutama untuk kategori perseorangan pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, susulan sambutan yang memberangsangkan, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John mengatakan pihaknya akan memperbagaikan lebih banyak lagi tawaran kepada pelanggannya melalui program-program sukan.
“Kita yakin ramai pelanggan Astro merupakan peminat sukan dan ini hanyalah permulaan untuk kita menganjurkan lebih banyak sukan yang lain yang bukan hanya sukan badminton pada masa akan datang”, katanya.