Pemain berusia 21 tahun, An Se Young menjadi pemain wanita Korea Selatan yang pertama menjuarai Kejohanan Dunia BWF.
Lebih manis, Se Young merangkul gelaran itu selepas berjaya menundukkan juara dunia sebanyak tiga kali serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Carolina Marin dari Sepanyol secara “straight set”.
Dalam perlawanan tersebut, Se Young yang kini merupakan penghuni ranking No.1 dunia menumpaskan pemain berusia 30 tahun tersebut dengan skor 21-12 dan 21-10 dalam tempoh masa 42 minit.
Experience meets innovation as Carolina Marin 🇪🇸 rivals An Se Young 🇰🇷.#BWFWorldChampionships #Copenhagen2023 pic.twitter.com/SN1h7fJSbj
— BWF (@bwfmedia) August 27, 2023
Sebelum melangkah ke perlawanan akhir tersebut, Se Young turut mengetepikan seorang lagi pemenang pingat emas Sukan Olimpik merangkap finalis Kejohanan Dunia BWF 2022 iaitu Chen Yu Fei dari China juga secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-15 dalam tempoh masa 58 minit di peringkat separuh akhir.
Manakala di peringkat suku akhir pula, Se Young berhadapan dengan pemain yang bukan calang-calangnya iaitu Nozomi Okuhara yang merupakan juara Kejohanan Dunia BWF 2017 serta pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016.
Perlawanan itu berlangsung dengan agak sengit dimana Se Yong terpaksa beraksi selama satu jam dan 10 minit sebelum dapat menjinakkan pemain kelahiran Jepun terbabit menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 16-21, 21-10 dan 21-11.
Untuk makluman semua, ini merupakan kejuaraan kelapan daripada sepuluh pentas akhir yang disertai Se Young bagi tahun 2023 setakat ini.
Sebagai tambahan, An juga merupakan pemain wanita Korea Selatan yang pertama selepas 30 tahun melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton BWF.
Bang Soo-hyun merupakan perseorangan wanita Korea Selatan yang terakhir mara ke pentas berkenaan pada tahun 1993 yang kemudiannya tumpas kepada pemain Indonesia, Susi Susanti.
Featured Image: Toyota Gazoo Racing Thailand Open 2023