Mancini Sasar Tamatkan Kemarau 27 Tahun Kejuaraan Piala Asia Buat Arab Saudi
August 29, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Arab Saudi, Roberto Mancini mensasarkan kejuaraan Piala Asia yang pertama selepas 27 tahun sebagai sasaran jangka masa pendeknya bersama skuad berjulukan The Green Falcons.

Jurulatih kelahiran Itali berusia 58 tahun menyatakan perkara berkenaan dalam sidang media pertamanya sejurus diperkenalkan kepada umum dalam satu majlis yang berlangsung di Riyadh, awal pagi tadi waktu Malaysia.

“Sasaran kita adalah untuk memenangi Piala Asia selepas 27 tahun. Sasaran sebelum itu, kita mempunyai empat (perlawanan) persahabatan, kita mempunyai dua (perlawanan) kelayakan Piala Dunia dan selepas itu kita mempunyai kem selama 20 hari sebagai persiapan untuk Piala Asia,” katanya.

Sebagai rekod, Arab Saudi pernah menjulang kejuaraan Piala Asia sebanyak tiga kali dan edisi pada tahun 1996 merupakan kali terakhir mereka menjulang trofi berkenaan.

Bagi saingan Piala Asia yang akan berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari di Qatar nanti, Arab Saudi akan memulakan kempennya dalam Kumpulan F bersama-sama Thailand, Kyrgyzstan dan Oman.

Sementara itu, biarpun diperkenalkan secara rasmi pada hari ini, Mancini yang pernah membimbing Itali menjuarai EURO 2020 telah pun memulakan kerjanya bersama skuad Arab Saudi sejak sepuluh hari yang lalu.

“10 hari berikutnya adalah sangat penting untuk bertemu pemain, dan juga untuk 10 hari yang lalu, kami telah menonton banyak video melibatkan pasukan dan para pemain.

“Kami mempunyai empat perlawanan persahabatan sebelum kelayakan Piala Dunia 2026, dan kita mempunyai masa yang cukup,” tambahnya.

Untuk makluman, dua perlawanan persahabatan yang dijadualkan itu adalah bertemu Costa Rica dan Republik Korea pada 9 dan 13 September masing-masing kelak di United Kingdom (UK).

Menariknya, Mancini bukanlah satu-satunya jurulatih eropah yang mensasarkan kejuaraan Piala Asia. Sekitar enam bulan lalu, Jurgen Klinsmann dari Jerman turut meletakkan sasaran yang sama setelah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Republik Korea – untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Asia selama lebih 60 tahun.

Komen