Artikel

Kelayakan Piala Asia B-23: Coach Ela Panggil Pemain Iceland, Finland Sertai Latihan Pusat

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23), E. Elavarasan atau lebih dikenali sebagai Coach Ela menyenaraikan dua pemain yang beraksi bersama kelab di luar negara untuk menyertai kem latihan pusat untuk persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand.

Dua pemain yang dimaksudkan itu ialah Luqman Hakim Shamsudin serta Nooa Hamzah Laine yang kini bersama Njardvik FC dan SJK Seinajoki di Iceland dan Finland masing-masing.

Kem latihan pusat yang akan bermula dari 30 Ogos ini turut menyenaraikan beberapa pemain utama skuad Liga Super seperti Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili (Selangor FC), Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan (Terengganu FC), T. Saravanan, Haqimi Azim Rosli (KL City FC), Azrin Afiq Rusmini (Kedah Darul Aman) dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC).

Manakala baki 14 pemain lagi, Coach Ela mengekalkan pemain-pemain skuad Kejuaraan B-23 AFF yang berlangsung di Rayong, Thailand dari 17 hingga 26 Ogos lalu termasuk beberapa muka baharu seperti Hariz Mansor, M. Rakesh, Saiful Jamaluddin dan penjaring terbanyak kejohanan, Alif Ikmalrizal Anuar.

Difahamkan, Coach Ela akan menyisihkan 2 daripada 25 pemain yang dipanggil ini dan membawa 23 pemain sahaja apabila berlepas ke Choburi pada 4 September nanti.

Untuk makluman, skuad berjulukan Harimau Muda ini telah diundi dalam Kumpulan H. Mereka akan memulakan kempen dengan bertemu Bangladesh (6 September) diikuti Filipina (9 September) dan tuan rumah, Thailand (12 September).

Sebanyak 16 pasukan yang terdiri daripada juara kumpulan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan di tempat kedua kumpulan terbaik serta hos akan layak beraksi di Piala Asia B-23 bertempat di Qatar pada tahun hadapan.

Featured Image: Njardvik FC

komen