Legenda Hoki Serah Tenun Pahang, Kebaya Nyonya Untuk Dipamerkan Di Muzium Sukan Asia
August 29, 2023 Hafizuddin Omar

Para pengunjung berpeluang untuk melihat dua busana tradisional Malaysia iaitu Tenun Pahang Diraja dan Kebaya Nyonya dari Melaka apabila mengunjungi Muzium Sukan Asia, Hangzhou, China pada September nanti.

Ini selepas legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menyerahkan dua busana berkenaan kepada Proton selaku rakan kenderaan rasmi Sukan Asia semasa konvoi siri ketiga Asian Games, Nations Drive dalam jelajahnya di Melaka, hujung minggu lalu.

Pemilihan dua busana yang mewakili pantai timur dan selatan semenanjung tanah air itu dibuat melalui proses pengundian orang ramai dalam kempen “Proud To Be Malaysian” di dua platform media sosial rasminya, Facebook dan Instagram.

Konvoi siri ketiga Asian Games, Nations Drive ini menghimpunkan 12 wakil media yang diberi peluang untuk memandu tiga model proton iaitu X50, X70 dan X90 bermula dari Pusat Kecemerlangan Proton di Subang Jaya pada Sabtu.

Kemudiannya, konvoi bergerak ke Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja Sultan Haji Ahmad Shah bertempat di Kampung Soi, Kuantan. Di situ, wakil media diperlihatkan dengan proses penghasilan tenunan, koleksi pakaian-pakaian daripada tenunan serta mengambil potongan kain tenun berbentuk kraf.

Pada Ahad, konvoi meneruskan perjalanan dari Kuantan menuju ke Melaka sebelum menyerahkan kraf tersebut kepada Timbalan Pengarah Pemasaran dan Sokongan Rangkaian, Proton Edar Sdn Bhd, Steven Zhou Qi.

Selain Tenun Pahang dan Kebaya Nyonya, Proton turut membawakan barangan perhiasan dan alat muzim tradisional iaitu Kalung Pinakol Bermanik serta Sape dari Sabah dan Sarawak masing-masing untuk dipamerkan di muzium yang sama. 

Kedua-dua berangan ini telah diserahkan kepada Proton ketika konvoi jelajah Asian Games, Nations Drive siri pertama dan kedua di Sabah dan Sarawak lalu.

Selepas ini, Proton akan menganjurkan jelajah Asian Games, Nation Drive siri keempat menuju ke utara semenanjung tanah air dengan dua lagi barangan kraf akan diterima oleh Proton.

Kesemua barangan yang dikumpulkan ini akan diserahkan kepada Kontinjen Malaysia untuk dibawa ke Hangzhou menjelang Sukan Asia Ke-19 yang akan membuka tirainya pada 23 September dan berakhir pada 8 Oktober.

Komen