Nathaniel Shio Hong Wan Tidak Dapat Beraksi Bersama Harimau Malaya
August 30, 2023 Hafizuddin Omar

Hasrat peminat untuk melihat pemain muda kacukan Malaysia-China yang lahir di England beraksi bersama skuad kebangsaan pada perlawanan antarabangsa menentang Syria dan China pada 6 dan 9 September masing-masing nampaknya tidak kesampaian.

Ini disebabkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim yang berusia 23 terbabit mengalami kecederaan sekaligus tidak dapat menyertai kem latihan pusat skuad berjulukan Harimau Malaya yang bermula semalam.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengesahkan perkara berkenaan dan turut dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi pelbagai platform media sosialnya.

Pada masa yang sama, jurulatih dari Korea berusia 54 tahun terbabit turut memaklumkan penjaga gol Sabah FC, Damien Lim juga tidak dapat menyertai kem latihan pusat atas alasan yang sama.

Susulan itu, Pan-gon membuat keputusan untuk memanggil penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City), Azri Ab Ghani yang berada dalam Senarai Bersenarai dipanggil menggantikan Damien.

Sementara itu, tiada sebarang penggantian dibuat untuk mengisi tempat Hong Wan menjadikan latihan pusat pada ketika ini disertai seramai 24 orang. Seorang lagi pemain, Junior Eldstal akan melapor diri selepas komitmen bersama kelabnya, Dewa United FC sehingga Ahad nanti.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen