Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei Kini Beregu Campuran No.1 Malaysia
August 30, 2023 Hafizuddin Omar

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang mula bergandingan sejak penghujung tahun lalu kini merupakan beregu campuran No.1 tanah air.

Kedudukan itu menjadi milik pemain berusia 25 dan 22 tahun masing-masing ini selepas kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meletakkan mereka di ranking kesebelas – meningkat sebanyak enam anak tangga berbanding minggu lalu. 

Lonjakan itu tercetus selepas Tang Jie-Ee Wei yang beraksi buat pertama kali di Kejohanan Dunia BWF mara sehingga ke peringkat suku akhir sekaligus memungut 7,200 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan ranking mereka.

Pada masa yang sama, pasangan yang memegang gelaran No.1 tanah air sebelum ini, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai mengalami penurunan sebanyak dua anak tangga dan menghuni ranking ke-12 dunia – satu tangga di bawah Tang Jie-Ee Wei.

Selain itu, perbezaan mata antara Tang Jie-Ee Wei di ranking kesebelas dengan beregu campuran Belanda yang menghuni ranking kesepuluh, Robin Tabeling dan Selena Piek juga tidak begitu besar.

Untuk makluman semua, kedua-dua pasangan ini hanya dibezakan dengan 1,745 mata sahaja.

Sebagai tambahan, sekitar sembilan bulan lalu, Tang Jie-Ee Wei bermula dengan ranking ke-272 dunia sebelum menjejaki ranking kesebelas pada minggu ini.

Sepanjang tempoh itu, Tang Jie-Ee Wei turut berjaya merangkul empat kejuaraan iaitu Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022, Cabaran Antarabangsa Fajr Ke-31, Orleans Masters 2023 dan Terbuka Taipei 2023.

Featured Image: Thailand Open

Komen