Artikel

Ranking BWF: Kedudukan Aaron-Wooi Yik Jatuh 2 Anak Tangga

Kedudukan beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam Ranking Dunia mencatatkan kejatuhan buat kali pertama selepas sembilan minggu berturut-turut berada di tangga keempat dunia.

Berdasarkan kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Aaron-Wooi Yik merekodkan penurunan dua anak tangga sekaligus menghuni ranking keenam dunia pada minggu ini.

Penurunan ranking itu turut didorong oleh kekalahan Aaron-Wooi Yik di tangan beregu Korea, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae di peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia BWF pada minggu lalu.

Pada masa yang sama, Min-hyuk dan Seung-jae pula berjaya merangkul kejuaraan tersebut yang menghadiahkan mereka 13,000 mata sekaligus membolehkan mengumpul 79,795 mata dan memintas pungutan mata dimiliki Aaron-Wooi Yik.

Sebagai rekod, kali terakhir Aaron-Wooi Yik menghuni ranking keenam dunia kira-kira setahun yang lalu iaitu pada 24 Ogos 2022.

Sementara itu, beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi kekal di tangga kelapan dunia biarpun terkandas pada Pusingan 16 dalam Kejohanan Dunia BWF baru-baru ini.

Untuk makluman semua, Yew Sin-Ee Yi menghuni ranking berkenaan dengan pungutan 70,300 mata pada saat ini.

Akhir sekali, beregu lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang turut sama mara ke Pusingan 16 dalam Kejohanan Dunia BWF mencatatkan peningkatan dua anak tangga dan menduduki ranking ke-23 dunia bagi minggu ke-35 ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen