Piala Carabao: Spurs Kalah Penalti, Tersingkir Di Pusingan Kedua
August 30, 2023 Hafizuddin Omar

Peluang kelab berpangkalan di utara London, Tottenham Hotspur untuk menjulang Piala Carabao tertutup apabila mereka tumpas di tangan Fulham, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Ange Postecoglou terpaksa akur tersingkir daripada saingan ini selepas tumpas penentuan sepakan penalti menerusi skor 3-5 kepada Fulham.

Sebelum itu, Spurs turun dengan membuat sembilan pertukaran berbanding kesebelasan utama yang mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu.

View this post on Instagram

A post shared by Tottenham Hotspur (@spursofficial)

Kesebelasan utama itu menyaksikan Spurs ketinggalan 0-1 di tangan Fulham hasil jaringan sendiri pertahanan, Micky van de Ven pada minit 19. 

Pada babak kedua, Spurs berhasil menjaringkan gol penyamaan menerusi Richarlison pada minit 59 hasil “assist” daripada Ivan Perisic.

Namun begitu, Spurs gagal menemui sebarang jaringan tambahan selepas daripada itu biarpun memasukkan pemain tonggak seperti Son Heung-min, Dejan Kulusevski, Pape Matar Sarr dan James Madison.

Situasi itu menjadikan kedudukan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat dan memaksa pemenangan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Sebagai perbandingan, Spurs pada musim lalu memulakan kempen Piala Carabao pada pusingan ketiga dan tumpas di tangan Nottingham Forest dengan keputusan 0-2.

Featured Image: Tottenham Hotspur

Komen