5 Perkara Menarik Kembalinya Penganjuran Pesta Bola Merdeka
August 30, 2023 Hafizuddin Omar

Bersempena dengan kemerdekaan kali ke-66 tanah air yang tercinta, rakyat dan peminat bola sepak tempatan kembali dihidangkan dengan kejohanan antarabangsa, Pesta Bola Merdeka. Dihidupkan semula selepas 10 tahun menyepi, penganjuran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kali ini tampil dengan beberapa pembaharuan. Berikut adalah lima perkara menarik penganjuran semula kejohanan ini:

#1 Format Kalah Mati

Saingan Pesta Bola Merdeka kali ini dilangsungkan dengan format kalah mati melibatkan empat buat pasukan yang terdiri daripada tuan rumah iaitu Malaysia serta India, Tajikistan dan Palestin. 

Hasil undian baru-baru ini menyaksikan Malaysia bertemu India manakala Tajikistan menentang Palestin pada perlawanan separuh akhir. Pemenang bagi setiap perlawanan terbabit akan mara perlawanan akhir untuk merebut trofi kejuaraan. Sementara itu, pasukan yang kalah di peringkat separuh akhir pula akan ke perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Format sebegini turut diamalkan oleh negara jiran tetangga iaitu Thailand menerusi penganjuran Piala Raja Thai.

Sebagai perbandingan, edisi yang berlangsung pada 2013 lalu dijalankan secara liga sepusingan melibatkan empat negara termasuk Malaysia. Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke perlawanan akhir untuk merebut trofi.

#2 Berlangsung Pada Oktober

Kejohanan Pesta Bola Merdeka sering kali diadakan pada bulan kemerdekaan. Namun kali ini dianjurkan di luar bulan kemerdekaan iaitu bermula 13 hingga 17 Oktober kelak. FAM tidak menganjurkannya pada Ogos kerana tidak mempunyai Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA pada bulan berkenaan. 

Penganjuran kejohanan sebegini pada Jendela FIFA adalah penting agar dapat membolot mata yang lebih tinggi untuk pengiraan Ranking FIFA. Tidak dilupakan, ketua jurulatih juga tidak mempunyai halangan untuk mendapatkan pemain-pemain yang dimahukannya daripada mana-mana kelab.

#3 Skuad Senior

Kejohanan kali ini kembali dipertandingkan untuk skuad senior. Untuk makluman semua, Untuk makluman, Pesta Bola Merdeka edisi lalu di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan ianya dipertandingkan untuk skuad bawah 23 tahun (B-23) atau berjulukan Harimau Muda. 

Dengan mempertandingkannya buat skuad senior, pentas ini boleh digunakan Kim Pan-gon sebagai persiapan terakhir sebelum skuad Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November kelak.

#4 Perlawanan Lebih Kompetitif

Penganjuran kejohanan sebegini membuatkan para pemain bermain dengan lebih bersemangat untuk merebut gelaran juara berbanding turun beraksi dalam perlawanan persahabatan biasa. Lebih-lebih lagi melibatkan pemain Harimau Malaya kerana trofi kejohanan ini melibatkan kemerdekaan negara bermain selain beraksi di laman dan hadapan penyokong sendiri. 

Tambahan pula, negara-negara yang dijemput pada edisi kali ini turut berada di ranking yang lebih tinggi daripada Malaysia – Palestin (96), India (99) dan Tajikistan (110). Situasi ini sekaligus akan menyemarakkan lagi semangat para pemain sekaligus akan membuatkan setiap perlawanan yang berlangsung akan lebih kompetitif.

#5 Rumput Zeon Zoysia

Rakyat dan peminat bola sepak tanah air boleh menjangkakan corak permainan yang berkualiti akan ditampilkan pasukan-pasukan yang beraksi termasuk Malaysia di Pesta Bola Merdeka pada Oktober kelak. Ini berikutan venue kejohanan iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah menggantikan padangnya daripada rumput jenis “cowgrass” kepada zeon zoysia – rumput yang lebih sesuai untuk pergerakan bola dalam permainan bola sepak. 

Untuk makluman, zeon zoysia adalah rumput jenis yang sama digunakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) milik Johor Darul Ta’zim (JDT). Malahan, kos penukaran rumput itu juga telah ditaja oleh pemilik JDT iaitu DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ). Bagi menjayakan penukaran rumput tersebut, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bertindak menutup penggunaan SNBJ khususnya untuk perlawanan bola sepak sejak Mac lalu. 

Pembukaan semula SNBJ pada Oktober kelak untuk perlawanan bola sepak menjadikan Malaysia, India, Tajikistan dan Palestin sebagai empat negara awal yang akan merasai padang baharu berumputkan zeon zoysia terbabit.

Komen