Teka-teki mengenai dua pemain yang tidak terpilih untuk dibawa oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), E. Elavarasan ke Kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand telah terjawab.
Menerusi siaran media yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, dua individu yang tidak terpilih tersebut adalah pemain Kedah Darul Aman FC (Kedah) iaitu Muhammad Hariz Mansor dan Muhammad Azrin Afiq Rusmini.
Sementara itu, 23 pemain yang mengikuti kem latihan pusat skuad B-23 sejak Isnin lalu turut terdiri daripada pemain yang beraksi di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin (Njardvik) dan Nooa Hamzah Laine (SJK Seinajoki).
Siaran Media: Senarai Akhir 23 Pemain Harimau Malaya B-23 Ke Kelayakan Piala Asia B-23 2024 Di Chonburi, Thailand
Baca siaran media penuh di https://t.co/5589hgNgSL#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/pWpNZlGHLi
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 3, 2023
Ianya turut disertai beberapa pemain utama skuad Liga Super seperti Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili (Selangor FC), Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan (Terengganu FC), T. Saravanan, Haqimi Azim Rosli (KL City FC) dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC).
Dalam kejohanan ini, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan H. Skuad Harimau Muda akan membuka saingan bertemu Bangladesh (6 September) diikuti Filipina (9 September) dan akhir sekali Thailand (12 September).
Juara kumpulan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan di tempat kedua kumpulan terbaik serta hos akan layak beraksi di Piala Asia B-23 bertempat di Qatar pada tahun hadapan.
Featured Image: Football Association of Malaysia