Vissel Kobe Kini Miliki Mata
September 4, 2023 Hafizuddin Omar

Pendahulu Liga J1 iaitu Vissel Kobe kini miliki pemain yang pernah menjulang trofi Piala Dunia yang baharu selepas pemergian Andres Iniesta sekitar awal Julai lalu.

Pemain yang dimaksudkan itu adalah bekas pemain tengah skuad kebangsaan Sepanyol serta Chelsea dan Manchester United iaitu Juan Manuel Mata Garcia atau Mata yang kini berusia 35 tahun.

Kehadiran pemain keluaran akademi Real Madrid ini disahkan sendiri oleh Vissel Kobe yang berjulukan Ushi (lembu) menerusi makluman di laman sesawang dan pelbagai platform media sosialnya, semalam.

Sementara itu, Mata ketika berkongsikan mengenai perpinhannya ke Vissel Kobe di platform media sosialnya berkata akan cuba sebaik mungkin untuk membantu kelab baharunya ini untuk merangkul kejuaraan J1.

Untuk pengetahuan semua, Vissel Kobe bimbingan Takayuki Yoshida berhasil mendapatkan Mata secara percuma. 

Ini kerana Mata bergelar ejen bebas selepas meninggalkan juara Liga Super Turki iaitu Galatasaray pada penghujung musim lalu.

Sepanjang semusim bersama Galatasaray, Mata sempat membuat 18 penampilan serta menjaringkan dua gol dan mencipta 2 “assist”.

Sebagai rekod, Mata beralih arah menyertai kelab yang berpangkalan di Turkiye tersebut selepas lapan musim bersama Manchester United.

Untuk makluman, Mata merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Dalam kempen tersebut, Mata berhasil melakukan satu penampilan ketika menentang Honduras dalam saingan Kumpulan H.

Featured Image: Vissel Kobe

Komen