KL City, Persija Jakarta Tandatangan MoU
September 4, 2023 Hafizuddin Omar

Dua kelab yang berpangkalan di ibu negara Malaysia dan Indonesia iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Persija Jakarta tampil menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada hari ini.

Difahamkan, MoU tersebut melibatkan kerjasama antara kedua-dua kelab untuk memajukan pembangunan bola sepak serta mengeratkan hubungan budaya antara bandaraya Kuala Lumpur dan Jakarta.

Menerusi MoU ini, KL City dan Persija akan meneroka inisiatif bersama yang merangkumi program latihan yang berterusan di Malaysia dan Indonesia, menganjurkan kem bola sepak samada di bawah jenama KL City atau Persija, memudahkan lawatan pasukan KL City ke kemudahan latihan Persija di Indonesia untuk perlawanan persahabatan dan perlawanan pramusim.

Untuk makluman semua, MoU ini turut menggariskan rancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan melibatkan KL City dan Persija. Bagaimanapun tarikh untuk perlawanan di Kuala Lumpur masih belum disahkan.

Manakala Persija pula komited untuk menganjurkan perlawanan persahabatan timbal balik di Jakarta.

Di luar padang, kerjasama itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan budaya dan sukan antara Kuala Lumpur dan Jakarta. Kedua-dua kelab komited untuk meningkatkan hubungan ini melalui acara dan aktiviti berkaitan bola sepak, mempromosikan muhibah dan persefahaman antara bandar masing-masing dan memupuk persahabatan di kalangan peminat, pemain dan pegawai.

Bagi memastikan kemampanan dan pertumbuhan pakatan ini, Pengarah Rinani Group Berhad, Azri Azerai mengesahkan bahawa wakil daripada KL City dan Persija akan bertemu sekurang-kurangnya sekali setahun untuk meninjau kemajuan usaha kerjasama dan meneroka bidang untuk pengembangan masa hadapan.

Untuk pengetahuan, Rinani Group Berhad merupakan syarikat yang memayungi KL City yang muncul selaku naib juara Piala AFC 2022.

Komen