Bekas pertahanan Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG), Sergio Ramos kembali ke pangkuan kelab zaman remajanya iaitu Sevilla FC selepas 18 tahun.
Kelab berjulukan Sevillistas Rojiblancos mengesahkan kehadiran pemain berusia 37 tahun terbabit sekitar tengah malam tadi menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya selepas lulus ujian perubatan.
Turut dimaklumkan, Ramos menandatangani kontrak bersama Sevilla FC selama semusim.
Untuk pengetahuan semua, Sevilla FC berjaya mendapatkan khidmat Ramos secara percuma. Ini kerana Ramos bergelar ejen bebas setelah kontraknya bersama juara Ligue 1 2022-23 tamat pada penghujung musim lalu.
🎥 @SergioRamos vuelve a casa. ⚪️🔴#WeareSevilla pic.twitter.com/eeJ0l40fFM
— Sevilla Fútbol Club (@SevillaFC) September 4, 2023
Bercerita mengenai Ramos, pemain yang lahir di Camas pada 30 Mac 1986 ini menyertai akademi Sevilla FC bermula usia tujuh tahun. Bertitik mula daripada saat itu, Ramos terus berkembang sehingga berhasil melakukan debut bersama skuad simpanan Sevilla FC ketika berusia 16 tahun pada musim 2002-03.
Pada musim berikutnya, Ramos melakar satu lagi pencapaian baharu dalam karier bola sepaknya apabila berjaya mencipta debut bersama skuad senior yang ketika itu dibimbing Joaquin Caparros.
Ramos merakamkan debut itu ketika Sevilla FC menentang Deportivo La Coruna di tempat lawan pada 1 Februari 2004. Dalam perlawanan yang berakhir dengan Sevilla FC mengalami kekalahan 0-1 tersebut, Ramos dimasukkan menggantikan Paco Gallardo.
Ketika musim 2004-05, Ramos menjadi pilihan utama Sevilla FC dengan merekodkan 31 penampilan dalam saingan liga serta menjaringkan dua gol. Bukan itu sahaja, Ramos juga tampil sebanyak empat kali dalam saingan Copa del Rey serta enam penampilan dalam saingan Piala UEFA.
Ramos sempat beraksi sebanyak satu kali pada musim 2005-06 bersama Sevilla FC dalam saingan liga sebelum Real Madrid datang menyambar khidmatnya pada usia 19 tahun – pada hari terakhir jendela perpindahan.
Featured Image: Sevilla FC