Terbuka China: Cabaran Besar Menanti Kian Meng-Pei Jing Di Pusingan 16 
September 5, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran bebas (independent) negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing akan berhadapan dengan pasangan No.4 Indonesia iaitu Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti pada Pusingan 16 Terbuka China – Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Ianya satu cabaran besar buat Kian Meng-Pei Jing kerana mereka belum pernah mencatatkan sebarang kemenangan apabila bertembung Praveen-Melati di kejohanan antarabangsa.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan ini pernah bertemu sebanyak dua kali iaitu di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2020 dan Terbuka Thailand 2019. Kemenangan bagi kedua-dua pertarungan tersebut memihak kepada Praveen-Melati.

Terdahulu, Kian Meng-Pei Jing berhasil melayakkan diri ke Pusingan 16 selepas mengalahkan gandingan bebas senegara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai secara “straight set” dengan skor 25-23 dan 21-15 dalam tempoh 41 minit permainan.

Menariknya, ini merupakan kali ketiga Kian Meng-Pei Jing berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Soon Huat-Shevon daripada sembilan pertemuan di pentas antarabangsa.

Bahkan kemenangan yang dicapai pada hari ini juga merupakan yang pertama selepas Soon Huat-Shevon mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga pertemuan terakhir mereka.

Sementara itu, Praveen-Melati pula mara ke Pusingan 16 selepas mengejutkan beregu tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xi menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-16, 12-21 dan 21-16.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen