Khidmat Yazan Al-Arab serta Noor Al-Rawabdeh yang merupakan pertahanan dan pemain tengah import milik Selangor FC berkemungkinan besar akan menjadi taruhan utama Jordan bagi menghadapi pasukan yang dikuatkan dengan kehadiran penyerang prolifik eropah, Erling Haaland.
Selain Haaland yang menjaringkan 52 gol secara keseluruhan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Piala FA dan Piala Carabao sepanjang musim lalu, pasukan tersebut turut dikuatkan dengan kehadiran pemain tengah handalan Arsenal iaitu Martin Odegaard.
Pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing ini melengkapkan senarai 24 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan Jordan, Hussein Ammouta untuk berhadapan skuad kebangsaan Norway di Oslo pada 8 September (waktu Malaysia).
إعلان قائمة منتخب النشامى لمواجهتي النرويج وأذربيجان وديا 🇯🇴
التفاصيل: https://t.co/VYFk5NclZ4#معك_يالنشمي pic.twitter.com/0G7FcklUUF
— Jordan FA – الاتحاد الأردني لكرة القدم (@JordanFA) September 2, 2023
Seterusnya, Jordan yang berada di ranking ke-82 dunia akan turun berhadapan dengan sebuah lagi pasukan dari benua eropah iaitu Azerbaijan (ranking ke-121) di Baku selang lima hari kemudian.
Untuk makluman semua, kedua-dua perlawanan ini diatur bersempena jendela perlawanan antarabangsa FIFA sebagai persiapan menjelang kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Skuad berjulukan Al Nashami ini telah diundi dalam Kumpulan G bersama-sama Arab Saudi dan Tajikistan serta pemenang pertembungan Pusingan 1 antara Kemboja dan Pakistan.
Selain itu, perlawanan menentang Norway dan Azerbaijan ini juga merupakan sebahagian daripada persiapan oleh Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) buat skuadnya untuk beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar bermula Januari 2024.
Dalam kejohanan ini, Jordan telah diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Republik Korea, Bahrain dan Malaysia.
Featured Image: Selangor FC & Manchester City