Terbuka China: Pearly-Thinaah Bertemu Semula Fukushima-Hirota, Pertarungan Hampir 2 Jam Bakal Berulang?
September 5, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menepati jangkaan untuk mengetepikan gandingan Belanda yang menghuni ranking ke-32 dunia, Debora Jille dan Cheryl Seinen pada Pusingan 32 sekaligus melayakkan diri ke Pusingan 16 saingan Terbuka China, hari ini.

Bagaimanapun, kemenangan Pearly-Thinaah tidak datang dengan begitu mudah. Beregu negara yang menghuni ranking ke-11 dunia ini terpaksa melalui tiga set permainan yang berlangsung hampir satu jam sebelum dapat menjinakkan lawannya dengan skor 17-21, 21-17 dan 21-10.

Sementara itu, kemenangan terbabit membawa Pearly-Thinaah bertemu beregu wanita No.1 Jepun merangkap pilihan kelima kejohanan, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota pada perlawanan seterusnya.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah baru sahaja berhadapan dengan pasangan yang menduduki ranking keempat dunia ini dalam saingan Malaysia Masters sekitar tiga bulan lalu.

Pertarungan di peringkat suku akhir tersebut mendapat tumpuan para peminat badminton seluruh dunia apabila ianya berlangsung sengit dengan memakan masa selama hampir dua jam sebelum kemenangan berpihak kepada Pearly-Thinnaah menerusi skor 13-21, 21-19 dan 21-16.

Kemenangan epik dihadapan penyokong sendiri di Axiata Arena itu membawa Pearly-Thinaah ke peringkat separuh akhir sebelum terpaksa akur bergelar naib juara bagi saingan bertaraf Super 500 terbabit.

Secara keseluruhan, Pearly-Thinaah dan Fukushima-Hirota telah merekodkan enam pertemuan di kejohanan antarabangsa dengan kedua-duanya mencatatkan tiga kemenangan masing-masing.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen