Le Tour de Langkawi 2023 Disiarkan Secara Langsung Di TikTok
September 6, 2023 Hafizuddin Omar

Peminat jelajah berbasikal jalan raya tempatan akan dapat menyaksikan dan mengikuti perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bermula 23 hingga 30 September hadapan menerusi platform media sosial, TikTok selain saluran televisyen.

Perkembangan itu hadir setelah penganjur iaitu Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi ketua pengarahnya, Dato’ Ahmad Shapawi mengumumkan TikTok sebagai Rakan Penaja Media Sosial Rasmi bagi perlumbaan edisi ke-27 ini.

Tambahnya lagi, TikTok juga akan membantu mempromosikan LTdL secara lebih meluas di platformnya dengan memaparkan kandungan perlumbaan secara lebih kreatif dan mengikut trend semasa untuk meraih statistik tontonan yang lebih besar.

“Malah setakat ini, sebanyak 49 video LTdL 2023 sudah disiarkan sejak bulan lalu dengan mendapat jumlah tontonan melebihi 1.2 juta,” katanya semasa sidang media di Bukit Jalil, hari ini.

Dimaklumkan, TikTok Malaysia hadir turut menyuntik tajaan yang bernilai RM500,000 buat LTdL yang bertemakan “Beat The Heat” pada edisi kali ini.

Untuk makluman, selain TikTok, MSN turut mengumumkan kehadiran dua lagi penaja iaitu PACE selaku Pembekal Pakaian dan Barangan Rasmi serta Dahua Technology sebagai Pembekal Peralatan dan Perkhidmatan Komunikasi LTdL 2023.

Jelasnya lagi, PACE yang tampil sebagai pembekal keseluruhan penyediaan pakaian rasmi dan barangan cenderamata (Offcial Merchandise) kepada petugas LTdL selain barangan jualan kenang-kenangan kepada orang ramai.

Manakala Dahua Technology pula merangkumi penyediaan peralatan radio komunikasi dan kamera badan (body cam) berteknologi tinggi bagi membantu tugas komisar, khususnya komisar bermotosikal untuk merakam insiden-insiden penting dalam perlumbaan yang memerlukan rakaman video sebagai bukti.

Pada masa yang sama, Dahua Technology juga hadir untuk memberikan penggunaan sistem Push To Talk On Cellular (PTTOC) buat julung kalinya dalam LTdL 2023 bagi menggantikan sistem radio “trunking” bagi memastikan sistem radio komunikasi menjadi lebih efisyen dan berada di tahap tertinggi.

Sebagai tambahan, penganjut mendedahkan PACE dan Dahua Technology hadir selaku penaja dengan nilai tajaan sebanyak RM550,000 dan RM260,000 masing-masing.

Featured Image: Le Tour de Langkawi Facebook

Komen