Pelari 4x100m Negara Akan Diuji Di Indonesia Sebelum Ke Sukan Asia
September 7, 2023 Hafizuddin Omar

Pelari-pelari acara 4×100 meter (m) negara akan dibawa ke Indonesia terlebih dahulu sebelum diterbangkan untuk menyertai Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Di sana, pelari-pelari pecut negara bagi acara tersebut akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Indonesia yang akan berlangsung pada minggu hadapan. 

Ianya sebagai persiapan terakhir sebelum beraksi di temasya Sukan Asia Ke-19 yang akan bermula 23 September kelak.

Pada masa yang sama, kejohanan ini juga menjadi medan buat jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Md Kassim untuk memilih empat pelari untuk membentuk kuartet terbaik bagi beraksi di Sukan Asia kelak. 

Perkembangan tersebut dikongsikan sendiri oleh salah seorang pelari 4x100m negara merangkap bekas pemegang rekod acara pecut 100m lelaki kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan.

“Kita ada enam pelari, dalam keenam-enam (pelari) memang kita tak boleh jangka siapa yang akan lari untuk Sukan Asia sebab ‘timing’ diorang semua (dalam lingkungan) 10.3 atau 10.4 saat,” katanya ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Proton, baru-baru ini.

“Kita tak tahu apa yang akan terjadi untuk Sukan Asia, jadi, sebelum Sukan Asia kita akan ada kejohanan untuk acara 4×100 (terlebih) dahulu, kita akan tengok daripada situlah, siapa yang akan berlari,” tambahnya lagi.

Pada saat ini, Malaysia mempunyai enam pelari yang boleh dipertaruhkan untuk membentuk kuartet terbaik iaitu Muhammad Azeem Mohd. Fahmi, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa, Russel Alexander Nasir Taib termasuk Hafiz sendiri. 

Bagaimanapun, Hafiz yang mendapat julukan The Speedy Jantan memaklumkan dirinya menjadi pilihan oleh jurulatih untuk diletakkan sebagai pelari pertama manakala Azeem selaku pelari terakhir. Hanya pelari ketiga dan keempat sahaja belum dimuktamadkan.

Tidak ketinggalan, Hafiz berkongsikan sasarankuartet 4x100m di Sukan Asia kelak adalah untuk mencipta rekod baharu atau memperbaiki catatan masa yang dilakar ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia 2023 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Julai lalu.

Dalam kejohanan terbabit, kuartet 4x100m yang dibarisi Azeem, Hafiz, Jonathan dan Mohammad Thaqif Hisham menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan masa 39.17s.

Komen