Ini Rupa Trofi Piala MFL – Berbentuk Perisai, Diperbuat Daripada Kaca
September 7, 2023 Hafizuddin Omar

Penganjur bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) tampil melancarkan trofi yang akan dijulang oleh pasukan yang menjuarai liga simpanan skuad bawah 23 tahun (B-23) atau nama rasminya, Piala MFL.

Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan memperkenalkan trofi tersebut buat pertama kali kepada wakil kelab di Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ketujuh dan dikongsikan kepada orang ramai menerusi platform media sosial MFL, pada hari ini.

Trofi yang direbut oleh 15 buah pasukan yang bertanding pada musim ini hadir dengan rekaan berbentuk perisai yang melambangkan ketahanan, jati diri dan semangat luar biasa khususnya pemain-pemain muda dalam menghadapi apa jua cabaran.

Diperbuat daripada kaca lutsinar bagi menambahkan lagi keutuhan trofi, MFL menjelaskan pemilihan bahan itu juga melambangkan visi, misi dan cita-cita yang dipupuk dalam kejohanan ini.

Sementara itu, warna merah dan hitam yang digunakan pada trofi ini pula melambangkan kerjasama semua pasukan dalam mengembangkan lagi bakat dan keupayaan pemain-pemain muda B-23.

Untuk makluman semua, saingan Piala MFL pada ketika ini telah memasuki pusingan kedua iaitu Liga Juara dimana lapan kelab sedang berentap untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Piala MFL 2023.

Lapan kelab terbabit ialah Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC, Sri Pahang FC, Kuala Lumpur City Extension, PDRM FC, Perak FC II dan Kedah Darul Aman FC B.

Perlawanan akhir Piala MFL ini dijangka berlangsung November kelak.

Selain menjulang trofi kejuaraan, kelab yang menjuarai Piala MFL akan meraih wang tunai bernilai RM500,000 manakala naib juara pula akan membawa pulang RM250,000.   

Featured Image: Malaysian Football League

Komen