Dua baki beregu campuran negara yang melangkah ke Pusingan 16 berjaya mengekalkan rentak kemenangan sekaligus menempah tiket kelayakan ke peringkat suku akhir Terbuka China – Jelaja Dunia BWF Super 1000.
Beregu No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei terlebih dahulu mengesahkan kemaraan tersebut apabila berhasil mengejutkan gandingan No.6 dunia dari Korea, Kim Won Ho dan Jeong Na Eun pada pagi tadi.
Dalam pertarungan sengit yang berlangsung hampir satu jam permainan tersebut, Tang Jie-Ee Wei berhasil mencetak kemenangan selepas mengharungi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 21-15, 15-21 dan 21-18.
Kemenangan ini turut menjadikan Tang Jie-Ee Wei merekodkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Won Ho-Na Eun selepas menumpaskan mereka dalam pertemuan akhir di Kejohanan Badminton Asia pada April lalu.
RESULTS: #ChinaOpen2023
R16#MAS🇲🇾 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei def. #KOR🇰🇷 Kim Won Ho-Jeong Na Eun(6) 21-15 15-21 21-18
📷 @badmintonphoto#GemilangkanLagi #DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/M4bhWRc6jp
— BAM (@BA_Malaysia) September 7, 2023
Sementara itu, di peringkat suku akhir yang berlangsung pada hari esok, Tang Jie-Ee Wei akan berhadapan gandingan Chinese Taipei, Ye Hong Wei dan Lee Chia Hsin untuk merebut tempat ke peringkat separuh akhir.
Berdasarkan rekod pertemuan yang lalu, Tang Jie-Ee Wei cukup cemerlang apabila bertemu gandingan yang menghuni ranking ke-15 dunia terbabit dengan mencatatkan kemenangan dalam ketiga-tiga pertemuan yang berlangsung sepanjang tahun ini.
Tidak lama kemudian, sepasang lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing mengikuti jejak langkah mara ke suku akhir selepas menumpaskan Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti.
Kian Meng-Pei Jing menumpaskan gandingan dari Indonesia itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-19 dan 21-12 dalam tempoh masa 58 minit.
Kemenangan terbabit membawa pasangan No.2 negara ini bertemu lawan yang cukup mencabar buat mereka iaitu Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai dari Thailand untuk merebut tiket ke separuh akhir.
Rekod lalu menunjukkan mereka telah berentap sebanyak 11 kali di pentas antarabangsa. Bagaimanapun, hanya dua daripada 11 pertemuan sahaja berhasil dimenangi oleh Kian Meng-Pei Jing.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia