Terbuka China: Aaron-Wooi Yik, Yew Sin-Ee Yi Bertembung Di Suku Akhir
September 7, 2023 Hafizuddin Omar

Pasangan badminton lelaki No.1, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi bakal bertembung sesama sendiri di peringkat suku akhir Terbuka China – Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Ini selepas kedua-duanya berhasil menumpaskan lawan masing-masing di Pusingan 16 sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik terlebih dahulu mengesahkan langkah ke peringkat berkenaan selepas menundukkan gandingan tuan rumah yang berada di ranking ke-16 dunia, He Ji Ting dan Zhou Hao Dong dengan bergaya secara “straight set” 21-16 dan 21-17 dalam tempoh masa 40 minit.

Kemenangan tersebut membolehkan Aaron-Wooi Yik melakar tiga kemenangan daripada empat pertemuan ke atas Ji Ting-Hao Dong di pentas antarabangsa.

Tidak lama kemudian, Yew Sin-Ee Yi melakar kemaraan ke peringkat yang sama apabila turut mengalahkan beregu ke-31 dunia dari Denmark, Rasmus Kjaer dan Frederik Sogaard secara “straight set” 21-12 dan 21-17 dalam tempoh sekitar setengah jam.

Bercakap mengenai pertembungan Aaron-Woo Yik dan Yew Sin-Ee Yi pada hari esok, ianya bakal menjadi yang ketujuh melibatkan kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa.

Berdasarkan rekod enam pertemuan yang lalu, kemenangan lebih berpihak kepada Aaron-Wooi Yik iaitu sebanyak empat kali. Manakala Yew Sin-Ee Yi hanya memenanginya sebanyak dua kali

Malahan pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua beregu ini di Terbuka India sekitar penghujung Januari lalu turut memihak kepada Aaron-Wooi Yik.

Bagaimanapun, terjadinya pertembungan melibatkan kedua-dua beregu negara sebegini mengesahkan sekurang-kurangnya satu wakil Malaysia akan beraksi di peringkat separuh akhir.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen