Terbuka China: Tang Jie-Ee Wei Julung Kali Jejak Pentas Separuh Akhir Super 1000
September 8, 2023 Hafizuddin Omar

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei julung kalinya berjaya menjejaki pentas separuh akhir dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 sejak bergandingan bersama bermula awal Disember tahun lalu.

Gandingan Tang Jie-Ee Wei yang kini menghuni ranking kesebelas dunia melakar langkah bersejarah berkenaan selepas menumpaskan pasangan Chinese Taipei, Ye Hong Wei dan Lee Chia Hsin di peringkat suku akhir Terbuka China, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan ke atas pasangan yang menghuni ranking ke-15 dunia itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 13-21 dan 21-16.

Keputusan ini juga menjadikan Tang Jie-Ee Wei meneruskan rekod cemerlang meraih empat kemenangan berturut-turut bertemu Hong Wei-Chia Hsin di kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Tang Jie-Ee Wei akan berhadapan cabaran samada daripada beregu No.2 dunia dari Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino atau pasangan Perancis yang berada di ranking kelapan dunia, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei pernah berhadapan Yuta-Arisa sebanyak dua kali dan tumpas kedua-dua pertarungan tersebut. Manakala, gandingan Thom-Delphine pula pernah dihadapi sebanyak satu kali dan kemenangan berpihak kepada Tang Jie-Ee Wei.

Untuk makluman semua, Terbuka China merupakan kejohanan bertaraf Super 1000 keempat buat Tang Jie-Ee Wei. Dalam tiga kejohanan Super 1000 yang lalu, pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei hadir ketika beraksi di Terbuka Malaysia dengan mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen