Terbuka China: Kian Meng-Pei Jing Singkir Bass-Popor, Ke Separuh Akhir Bertemu Juara Dunia
September 8, 2023 Hafizuddin Omar

Sepasang lagi beregu campuran negara iaitu Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing turut sama melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Terbuka China – Jelajah Dunia BWF Super 1000 – selepas Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pada pagi tadi.

Kian Meng-Pei Jing yang merupakan gandingan pemain bebas (independent) mengesahkan kemaraan berkenaan selepas mengejutkan pasangan No.4 dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai atau terkenal dengan panggilan Bass-Popor di peringkat suku akhir, tengah hari tadi.

Bukan itu sahaja, Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-23 dunia melakar kemenangan itu dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-19 dalam tempoh masa 41 minit.

Untuk pengetahuan semua, Bass-Popor merupakan salah satu lawan yang cukup sukar untuk ditumpaskan oleh Kian Meng-Pei Jing. Sebelum ini, mereka hanya berhasil meraih dua kemenangan sahaja daripada 11 pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.

Bertambah lebih manis, ini merupakan kemaraan pertama Kian Meng-Pei Jing ke peringkat separuh akhir pada tahun ini.

Bermula Januari lalu, Kian Meng-Pei Jing amat bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik mereka dan seringkali tersingkir pada Pusingan 32 atau Pusingan 16 dalam 14 kejohanan yang mereka sertai.

Sementara itu, kemaraan ke peringkat separuh akhir Terbuka China menemukan Kian Meng-Pei Jing dengan beregu kelima dunia dari Korea, Seo Seung Jae  dan Chae Yu Jung yang masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia BWF 2023.

Berdasarkan rekod, kedua-duanya pernah bertembung sebanyak satu kali di kejohanan Terbuka Denmark 2019 dan kemenangan berpihak kepada Seo-Chae secara “straight set” dengan skor 21-13 dan 21-15.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen