Artikel

Hampir 7,900 Peserta Mendaftar Larian SHARP Hari Sukan Negara KL

Pendaftaran Larian Hari Sukan Negara Kuala Lumpur (HSNKL) yang akan berlangsung pada 8 Oktober kelak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur telah mencecah hampir 7,900 peserta melibatkan pelari tempatan dan juga antarabangsa.

Pengarah Urusan Sharp Electronics Malaysia, Ting Yang Chung berkongsikan jumlah penyertaan tersebut sejak pendaftaran dibuka bermula empat minggu lalu, ketika dalam majlis pelancaran larian ini, semalam.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan pada acara larian ini iaitu 21 kilometer (km) Half Marathon, 10km Run, 5km Run dan 3km Fun Runs dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM50,000.

Acara larian ini selari dengan misi Hari Sukan Negara yang bermatlamatkan merealisasikan hasrat dan aspirasi untuk menggalak dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang membudayakan sukan.

Untuk makluman, kali terakhir Larian Hari Sukan Negara dianjurkan adalah pada tahun 2016. Namun begitu, penganjuran kali ini dijenamakan semula sebagai Sharp Hari Sukan Negara Kuala Lumpur (SHARP HSNKL) dimana SHARP hadir selaku penaja utama bersempena ulang tahunnya yang ke-111 pada tahun ini.

Acara pada kali ini dianjurkan oleh Pure Events dengan kerjasama daripada Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan, Seni, Pelancongan & Sukan (CATS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan KL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pendaftaran larian ini akan ditutup pada 25 September atau sehingga ia mencecah kapasiti maksimum; berdasarkan yang mana datang dahulu.

Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan di laman sesawang https://checkpointspot.asia/registration/type/sharp-hsn-kl

Featured Image: Sharp Hari Sukan Negara – Kuala Lumpur 2023

komen