Kelayakan Piala Asia B-23: Harimau Muda Ratah Filipina
September 9, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) atau nama julukannya, Harimau Muda mempamerkan persembahan garang pada aksi kedua Kumpulan H dalam Kelayakan Piala Asia B-23.

Pertarungan yang bermula pada jam 5.30 petang (waktu Malaysia) tadi bertempat di Stadium Chonburi itu menyaksikan skuad bimbingan E. Elavarasan meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Filipina.

Harimau Muda melakar kemenangan bergaya tersebut menerusi jaringan oleh kapten, Mukhairi Ajmal seawal minit pertama sebelum disusuli gol oleh T. Saravanan selang lima minit kemudian.

Pendahuluan 2-0 itu kekal buat seketika waktu sebelum Harith Haiqal menambah satu lagi jaringan pada minit ke-23 yang membolehkan Harimau Muda mendahului 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, T. Saravanan sekali lagi berjaya menembusi gawang Filipina yang dikawal oleh John Lucero pada minit ke-61 untuk menjadikann kedudukan semasa 4-0.

Selepas daripada itu, Harimau Muda beberapa kali berhasil mara dan melakukan serangan yang berbahaya namun ianya sekadar menggegar palang dan tiang.

Kedudukan tersebut kekal sehingga pengadil perlawanan dari Kuwait, Ahmad Alali meniup wisel menamatkan permainan.

Kemenangan ini sekaligus menjadikan Harimau Muda mengutip enam mata daripada dua perlawanan dan menghuni puncak Kumpulan H buat seketika.

Untuk perlawanan seterusnya merangkap yang terakhir, Harimau Muda akan turun berhadapan skuad tuan rumah iaitu Thailand pada 12 September untuk menentukan juara kumpulan.

Pasukan yang muncul juara kumplan akan layak secara automatik ke saingan Piala Asia B-23 pada tahun hadapan.

Featured Image: Football Association of Malaysia  

Komen