Malaysia yang menghuni ranking ke-136 dunia setaraf dengan China yang berada di kedudukan ke-80 dunia.
Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon berhasil mengikat China dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Pheonox Hill, Chengdu, sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia yang diketuai Dion Cools selaku kapten pasukan membuka tirai jaringan seawal minit ke-11.
Jaringan tersebut berpunca daripada serangan balas pantas yang akhirnya disudahkan dengan cemerlang oleh penyerang sayap lincah bertubuh kecil, Faisal Halim setelah mendapat lorongan daripada Akhyar Rashid.
Bagaimanapun, China yang dikemudi jurulatih Serbia, Aleksandar Jankovic tidak menunggu lama untuk kembali mengikat skuad Harimau Malaya dengan kedudukan 1-1.
Jaringan itu tercipta menerusi satu rembatan deras oleh penyerangnya, Lin Liangming pada minit ke-36 dari luar kotak penalti menewaskan Syihan.
Memasuki babak kedua, Malaysia dan China meneruskan perlawanan dengan kedua-duanya melakukan beberapa pertukaran pemain.
Intensiti permainan turut meningkat terutamanya China yang lebih ghairah menyerang untuk mendapatkan jaringan kemenangan.
Mujurlah Syihan serta barisan pertahanan kental bertahan bagi memastikan gawang Harimau Malaya tidak mudah dibolosi.
Sesekali skuad Harimau Malaya turut melancarkan serangan untuk mendapatkan jaringan kemenangan namun ianya tidak begitu berbahaya untuk melepasi penjaga gol China, Yan Junling.
Biarpun 9 minit masa tambahan diberikan, kedudukan 1-1 kekal sehingga sehingga pengadil perlawanan dari Qatar, Abdulhadi Alasmar Alruaile meniup wisel menamatkan permainan.
Sebagai tambahan, keputusan ini menjadikan Malaysia menutup cabaran pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bagi bulan September ini agak positif; selepas turut sama mengikat skuad Syria yang berada di ranking ke-94 dunia dengan keputusan 2-2 pada Rabu lalu.
Featured Image: Football Association of Malaysia