Pahang Rangers Raih Kejuaraan Berganda Selepas Julang Trofi Piala Futsal Malaysia
September 11, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad futsal berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Pahang Rangers menutup saingan domestik pada tahun ini dengan penuh cemerlang selepas menjulang trofi Piala Futsal Malaysia 2023.

Pahang Rangers bimbingan Gerard Casas menjulang trofi berkenaan selepas berjaya menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Sebelum itu, perlawanan dalam masa sebenar berlangsung sengit dengan Pahang Rangers dan JDT terikat 3-3. Kedudukan itu sekaligus memaksa pengadil perlawanan, Helday Idang melanjutkan permainan ke masa tambahan. 

Masa tambahan sebanyak 5+5 minit turut menyaksikan pertambahan satu jaringan daripada Pahang Rangers dan JDT masing-masing menjadikan keputusan akhir 4-4.

Kedudukan itu sekali lagi memaksa pengadil membawa kedua-dua pasukan ke penentuan sepakan penalti bagi mencari juara Piala Futsal Malaysia edisi kedua ini.

Ketika sepakan penalti berlangsung, Zainulzahin Sinuan muncul wira buat Pahang Rangers apabila berjaya menyelamatkan sepakan kapten JDT, Mohd Firdaus Ambiah dan Mohd Azwann Ismail. 

Manakala percubaan daripada Muhammad Saad Abdul Sani pula terkena tiang dan hanya sepakan dari pemain Thailand, Tanatul Thadavirot sahaja berjaya menerjah jaring. 

Sementara itu, rembatan cemerlang oleh tiga pemain Pahang Rangers bermula daripada pemain importnya dari Brazil, Sergio Jamur diikuti pemain tempatan, Akamarulnizam Mohd Idris dan Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir menutup penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-1 sekaligus beregelar juara pada musim ini.

Selain menjulang trofi kejuaraan, Pahang Rangers turut meraih hadiah ganjaran berupa wang tunai bernilai RM30,000.

Sebagai rekod, pertengahan bulan lalu, Pahang Rangers turut mengesahkan kejuaraan dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 dan membawa pulang wang tunai bernilai RM50,000 selepas menundukkan JDT menerusi agregat 9-6.

Featured Image: Pahang Rangers

Komen