Rudi Völler Jurulatih ‘Interim’ Jerman Ganti Hansi Flick
September 11, 2023 Hafizuddin Omar

Individu yang memimpin skuad kebangsaan Jerman mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2002 bertemu Brazil, Rudi Völler dinamakan sebagai pengganti sementara bagi pasukan berjulukan Die Mannschaft. 

Menurut kenyataan rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Völler yang kini berperanan sebagai Pengarah Sukan dilantik sebagai ketua jurulatih Jerman buat sementara bagi menggantikan Hansi Flick – dipecat selepas tumpas kepada 1-4 di tangan Jepun, awal pagi semalam (waktu Malaysia).

Dalam perlawanan tersebut, Jerman yang beraksi di tempat sendiri, Volkswagen Arena, Wolfsburg tumpas hasil jaringan Junya Ito, Ayase Ueda, Takuma Asano dan Ao Tanaka.Manakala jaringan tunggal oleh Jerman pula hadir menerusi Leroy Sane.

Perlantikan Völler itu hadir khusus untuk menyediakan Jerman bagi bertemu Perancis dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan berlangsung pada awal pagi Rabu (waktu Malaysia) bertempat di Dortmund kelak.

Pada masa yang sama, Völler akan dibantu oleh Hannes Wolf dan Sandro Wagner. 

Tambah DFB lagi, mereka berharap untuk mengumumkan pengganti tetap kepada Flick secepat yang mungkin. Untuk makluman, selain Flick, dua penolongnya iaitu Marcus Song dan Danny Röhl turut sama diberhentikan dengan serta-merta.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pemecatan Flick, Presiden DFB, Bernd Neundorf berkata Die Mannschaft memerlukan dorongan baharu selepas keputusan yang mengecewakan baru-baru ini.

Mereka memerlukan keyakinan dan optimistik daripada  negara lebih-lebih lagi Die Mannschaft akan berkasi di Kejohanan EURO 2024 sebagai tuan rumah pada musim panas kelak.

Neundorf menganggap ini merupakan salah satu yang keputusan tersukar dilakukannya sebagai presiden kerana dia sangat menghormati Flick dan kedua-dua penolongnya secara profesional dan peribadi.

Featured Image: Germany Football Team Facebook

Komen