Setiap atlet yang membawa pulang sebarang kilauan pingat samada emas, perak mahupun gangsa di temasya Sukan Asia 2022 di China kelak akan dihadiahkan jam tangan Huawei.
Bukan itu sahaja, atlet para negara yang meraih sebarah kilauan pingat di temasya Sukan Para Asia 2022 akan turut mendapat habuan yang sama.
Perkembangan ini dikongsikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia & Sukan Para Asia 2022 Hangzhou di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada hari ini.
“Tidak lupa ucapan terima kasih kepada barisan penaja dalam mempersiapkan atlet kita, Sunrise Sdn Bhd, Allianz Malaysia Bhd, Syarikat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Tudungpeople International Sdn Bhd, Milo Malaysia dan Rexona.
“Ini termasuklah Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd yang berhasrat untuk menghadiahkan jam tangan Huawei kepada setiap pemenang pingat.” kata Hannah dalam majlis yang turut dihadiri oleh isteri kepada Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Untuk makluman semua, Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia edisi ke-19 ini akan diketuai oleh Chef De Mission, Dato’ Chong Kim Fatt merangkap Presiden Persekutuan Wushu Malaysia dengan dibantu dua Timbalan Ketua Kontinjen iaitu Presiden Persatuan Tinju Malaysia, Dato’ Muhammad Iruan Zulkefli dan bekas atlet gimrama negara, Prof. Madya Dr. Farrah Hani Imran.
Hannah memaklumkan Kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam 22 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan menerusi penyertaan dalam 121 acara daripada 481 jumlah acara keseluruhannya.
Sementara itu, Kontinjen Para Malaysia yang dianggotai seramai 115 atlet dan 43 orang pegawai ke Sukan Para Asia edisi ke-9 pula diketuai Chef De Mission, Rajendran Muthusamy dan dibantu oleh Timbalan Ketua Kontinjen, Mohamad Sofian Hamzah.
Sebagai tambahan, temasya Sukan Asia akan bermula pada 23 September dan menutup tirainya pada 8 Oktober. Manakala Sukan Para Asia pula akan membuka tiranya pada 22 Oktober dan tamat pada 28 Oktober.