Sukan Asia 2022: Malaysia Sasar 27 Butir Pingat Tanpa Mengira Warna
September 12, 2023 Hafizuddin Omar

Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran untuk mengutip 27 pingat secara keseluruhan dalam temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China yang akan membuka tirainya pada 23 September kelak.

Bagaimanapun, sasaran yang diletakkan ke atas Kontinjen Malaysia diketuai Chef De Mission, Dato’ Chong Kim Fatt itu tidak dikhususkan kepada mana-mana kilauan warna samada emas, perak atau gangsa.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), pungutan 27 butir pingat itu akan disasarkan daripada 13 jenis sukan.

Antaranya akuatik (terjun), badminton, basikal trek, ekuestrian, hoki padang, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wushu dan esports.

Untuk makluman, Kontinjen Malaysia akan turun ke temasya itu nanti dengan penglibatan seramai 289 atlet dan 145 pegawai.

Mereka akan mengambil bahagian dalam 22 daripada 40 jenis sukan menerusi penyertaan dalam 121 daripada 481 acara yang dipertandingkan secara keseluruhan.

Sebagai perbandingan, Kontinjen Malaysia yang dianggotai 417 atlet dalam temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berjaya membutirkan 36 pingat (7 emas, 13 perak & 16 gangsa).

Manakala temasya Sukan Asia 2006 Doha pula menjadi edisi paling banyak Kontinjen Malaysia mengutip pingat iaitu sebanyak 42 butir (8 emas, 17 perak & 17 gangsa) dengan dianggotai 226 atlet.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

Komen