Terbuka Hong Kong: Kisona Lepasi Cabaran Pusingan Kelayakan
September 12, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan wanita No.2 negara, Kisona Selvaduray berhasil melepasi ujian di pusingan kelayakan sekaligus melayakkan diri ke Pusingan 32 babak undian utama dalam kejohanan Terbuka Hong Kong – Jelajah Dunia BWF Super 500 – yang bermula pada hari ini.

Kisona yang berada di ranking ke-58 dunia melakar kemaraan tersebut selepas menumpaskan pemain Amerika Syarikat yang menduduki ranking ke-40 dunia, Lauren Lam di peringkat suku akhir pusingan kelayakan, pagi tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Kisona berhasil mencetak kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 23-21 dan 21-8 dalam tempoh masa 33 minit.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar Kisona bertemu lawan yang sama di kejohanan antarabangsa.

Sebelum ini, pemain bebas (independent) negara berusia 24 tahun ini pernah turun menentang Lauren di kejohanan Terbuka Korea sekitar penghujung Julai lalu – kejohanan sulung bertaraf Super 500 disertai Kisona pada tahun ini. 

Pertarungan tersebut turut dimenangi Kisona secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-19 dalam tempoh masa 36 minit.

Sementara itu, dengan mengesahkan langkah ke Pusingan 32 di Terbuka hong Kong ini, Kisona akan bertemu perseorangan wanita No.1 Singapura, Yeo Jia Min pada hari esok untuk merebut tempat ke Pusingan 16.

Untuk pengetahuan semua, Kisona dan Yeo yang menghuni ranking ke-22 dunia pernah bertemu sebanyak satu kali sebelum ini. 

Namun begitu ia berlaku sekitar tujuh tahun lalu kejohanan Remaja Belanda pada tahun 2016.

Dalam perlawanan tersebut, Kisona meraih kemenangan apabila Yeo membuat keputusan untuk memberhentikan permainannya pada set kedua ketika Kisona mendahului menerusi skor 9-5. Sebelum itu, Yeo terlebih dahulu meraih kemenangan pada set pertama dengan pungutan mata 21-16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen