Ranking BWF: Pearly-Thinaah Kembali Dalam Kelompok 10 Terbaik Dunia
September 12, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan kembali semula dalam kelompok sepuluh terbaik dunia selepas empat bulan.

Kedudukan itu jembali dihuni Pearly-Thinaah selepas merekodkan peningkatan dua anak tangga dalam Ranking Dunia selepas kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini.

Kemaskini itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengumpul 68,301 mata secara keseluruhan daripada 10 kejohanan terbaiknya dalam tempoh 52 minggu yang lalu.

Penjumlahan itu termasuk pungutan 4,800 mata hasil daripada menjejaki peringkat pusingan 16 di Terbuka China sebelum tumpas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota pada minggu lalu. 

Pada masa yang sama, beregu wanita No.2 tanah air yang bergerak secara bebas (independent) iaitu Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien turut mencatatkan peningkatan yang positif.

Mereka kini menghuni ranking ke-33 dunia – memanjat dua anak tangga berbanding kedudukan minggu lalu – hasil daripada mengumpul sebanyak 36,550 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, Anna Cheong yang kembali beraksi semula selepas berehat panjang ekoran kecederaan bersama pasangannya, Teoh Mei Xing melakukan lonjakan dengan meningkat sebanyak 122 anak tangga menjadikan mereka berada posisi ke-127 dalam Ranking Dunia.

Gandingan ini memiliki 8,000 mata hasil daripada beraksi di pusingan 32 dan pusingan 16 dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF (3,200 mata) dan Terbuka China 2023 (4,800 mata) masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen