Kerajaan Negeri Terengganu Tampil Selaku Penaja Utama LtdL 2023
Hafiz Omar
Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 tampil memperkenalkan penaja utamanya iaitu Kerajaan Negeri Terengganu.
Pengumuman itu hadir dalam satu majlis yang berlangsung di Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada hari ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail.
Menerusi penajaan terbabit, logo “Beautiful Terengganu” selaku penjenamaan pelancongan bagi negeri di pantai timur semenanjung terbabit akan menghiasi jersi putih iaitu pemenang bagi kategori Raja Asia.
Pada masa yang sama, wakil Kerajaan Negeri Terengganu akan diberi penghormatan untuk menyarungkan jersi putih pendahulu kategori ini pada setiap peringkat.
Sepertimana diumumkan sebelum ini, LTdL edisi ke-27 ini terbahagi kepada lapan peringkat dimana dua lokasi di negeri Terengganu iaitu Kerteh dan Kuala Terengganu menjadi permulaan kepada perlumbaan peringkat pertama dan kedua masing-masing.
Untuk makluman semua, edisi LTdL pada kali akan disiarkan secara langsung menerusi penyiar sukan, Eurosports saluran televisyen tempatan termasuk platform media sosial seperti Youtube dan TikTok.
Melaluinya, kerajaan negeri Terengganu selaku penaja akan mendapat pulangan dari segi promosi pelancongan yang akan menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara untuk memilih negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.
Featured Image: Le Tour de Langkawi