Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei No.9 Dunia, 19 Kejohanan Dalam Masa 9 Bulan
September 12, 2023 Hafizuddin Omar

Tangga ke-272 menjadi Ranking Dunia pertama dijejaki oleh Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei sejurus menjuarai Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022. Ini merupakan kejohanan pertama disertai Tang Jie-Ee Wei selepas digandingkan bersama pada awal Disember tahun lalu.

Selepas menyertai 19 kejohanan individu dalam masa sembilan bulan, kini, gandingan Tang Jie-Ee Wei menghuni kedudukan kesembilan dunia dalam Ranking Dunia – meningkat dua anak tangga berbanding kedudukannya pada minggu lalu.

Pemain berusia 25 dan 22 tahun berkenaan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tersebut selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini dalam Ranking Dunia pada hari ini.

Menerusi kemaskini tersebut, Tang Jie-Ee Wei telah mengumpul sebanyak 62,958 mata hasil daripada aksi terbaik ditampilkan dalam sepuluh kejohanan dalam tempoh 52 minggu lalu.

Ini termasuk kejayaan mereka mara buat julung kalinya ke peringkat separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 iaitu di Terbuka China pada minggu lalu yang menghadiahkan 8,400 mata. 

Pada masa yang sama, penyertaan mereka dalam kelompok sepuluh pasangan dunia ini mengukuhkan lagi status mereka selaku beregu campuran No.1 tanah air pada saat ini.

Sebagai tambahan, sepanjang tempoh sembilan bergandingan bersama, Tang Jie-Ee Wei turut berjaya meraih empat gelaran juara iaitu Cabaran Antarabangsa Iran Fajr Ke-31, Orleans Masters 2023 dan Terbuka Taipei 2023 selain Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022.

Sementara itu, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai kekal selaku beregu campuran No.2 negara apabila kedudukannya kekal di tangga ke-12 dalam Ranking Dunia.

Manakala, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing pula mempamerkan sedikit lonjakan apbila menghuni ranking ke-20 dunia pada minggu ini. 

Ianya merupakan peningkatan sebanyak tiga anak tangga hasil daripada mengumpul 51,584 mata secara keseluruhan. 

Sepertimana Tang Jie-Ee Wei, pungutan mata Kian Meng-Pei Jing itu turut disumbangkan oleh kemaraan mereka ke peringkat separuh akhir Terbuka China. 

Akhir sekali, gandingan pemain muda, Yap Roy King dan Valeree Siow yang berusia 22 dan 20 tahun masing-masing turut sama mencatatkan peningkatan dalam Ranking Dunia selepas menjuarai Indonesia Masters I yang merupakan kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100 pada minggu lalu.

Mereka kini menghuni ranking ke-50 dunia yakni meningkat sebanyak lapan anak tangga berbanding kedudukan minggu lalu dan mengumpul 25,970 mata.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen