Artikel

Jersi Kuning Ditukar Kepada Hijau, PETRONAS Muncul Sebagai ‘Title Sponsor’ LTdL 2023-2025

Syarikat Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS tampil sebagai penaja perdana perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat, Le Tour de Langkawi (LTdL) selama tiga edisi iaitu dari tahun 2023 hingga 2025.

Susulan status penajaan terbabit, PETRONAS diberikan hak penamaan (naming rights) terhadap acara bersama logo rasmi menjadi PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 – yang turut membawa logo PETRONAS pada kesemua penjenamaan acara LTdL.

Bukan itu sahaja, PETRONAS juga diberikan hak menaja jersi pendahulu keseluruhan atau pemenang utama yang menjadi jersi rebutan utama yang diimpikan oleh semua pelumba yang bertanding. 

Buat julung kalinya, jersi berwarna kuning ini ditukar kepada warna hijau PETRONAS sebagai penghormatan atas tajaan daripada syarikat tenaga global milik negara ini.

Sebagai rekod, penggunaan jersi pemenang utama atau pendahulu keseluruhan yang berwarna kuning sudah menjadi tradisi penganjur LTdL dalam 26 tahun yang sudah. 

Difahamkan, penggunaan warna jersi ini bukan sesuatu yang asing dalam dunia perlumbaan basikal jalan raya. Sebagai contoh, Giro d’Italia – perlumbaan bertaraf World Tour UCI – menampilkan warna merah jambu “maglia rosa” bagi kategori ini.

Pengumuman kehadiran PETRONAS selaku penaja perdana ini dibuat dalam satu majlis yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, pada hari ini. 

Ianya diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh disamping turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, Ketua Setiausaha KBS, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi dan Naib Presiden 1 Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Dato’ Amarjit Singh.

Bagaimanapun, jumlah penajaan daripada PETRONAS ini tidak didedahkan kepada umum atas persetujuan bersama pihak penaja dan penganjur.

Sebagai rekod, Hannah pernah memaklumkan penganjur iaitu MSN memerlukan sekitar RM15-RM16 juta untuk menjayakan acara jelajah berstatus ProSeries UCI dengan kualiti ‘kelas dunia’ – dengan RM8 juta merupakan peruntukan dari pihak KBS. 

Sehingga kini, LTdL telah menerima tajaan daripada TikTok (Rakan Penaja Media Sosial Rasmi), PACE (Pembekal Pakaian dan Barangan Rasmi) serta Dahua Technology (Pembekal Peralatan dan Perkhidmatan Komunikasi) yang berjumlah RM1.31 juta secara keseluruhan.

Selain itu, LTdL turut mendapat penajaan dari Kerajaan Negeri Terengganu yang bernilai sekitar RM1 juta meliputi wang tunai dan penyediaan logistik serta jenama air mineral semula jadi tempatan, Bubbles O2 yang menaja anugerah “Most Combative Rider”.

komen