Perseorangan lelaki Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-37 dunia, Lee Chia Hao membuatkan pemain No.1 negara, Lee Zii Jia tersingkir daripada kejohanan Terbuka Hong Kong 2023.
Penyingkiran itu terjadi apabila Zii Jia yang turun berentap menentang pemain berusia 24 tahun berkenaan di Pusingan 16, sebentar tadi, tumpas menerusi tiga set permainan berskor 21-19, 17-21 dan 20-22 dalam tempoh satu jam dan enam minit.
Kekalahan itu sekaligus membuatkan Zii Jia gagal mara ke peringkat suku akhir buat kali ketiga dalam tiga kejohanan berturut-turut selepas Kejohanan Dunia BWF dan Terbuka China pada penghujung Ogos dan awal September masing-masing.
Pada masa yang sama, kekalahan ini menjadikan Zii Jia yang berusia 25 tahun tumpas buat kali ketiga daripada lima pertemuan menentang Chia Hao di pentas antarabangsa.
Untuk makluman semua, dua pertarungan terakhir mereka yang berlangsung di Terbuka Jerman dan Terbuka Swiss pada awal dan penghujung Mac lalu berpihak kepada Zii Jia.
Manakala dua kemenangan Chia Hao ketika bertemu Zii Jia ketika beraksi dalam kejohanan remaja pada tahun 2016 lalu.
Sementara itu, Chia Hao yang menempah tiket kemaraan ke peringkat suku akhir Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini akan bertemu samada pemain Indonesia, Jonatan Christie atau perseorangan tuan rumah, Lee Cheuk Yiu.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023