3 Pengadil Malaysia Tersenarai Untuk Bertugas Di Piala Asia 2023
September 14, 2023 Hafizuddin Omar

Kejohanan bola sepak berprestij asia iaitu Piala Asia 2023 yang berlangsung bermula 12 Januari hingga 10 Februari kelak bukan sahaja menampilkan penyertaan skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon iaitu Harimau Malaya.

Bahkan kejohanan melibatkan 24 pasukan negara terbaik asia itu turut diserikan dengan penglibatan pengadil serta penolong pengadil dari Malaysia yang akan bertugas untuk mengadili perlawanan-perlawanan di kejohanan tersebut.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada hari ini, Muhammad Nazmi Nasaruddin, 33 tahun, kelahiran Pulau Pinang, antara yang tersenarai dalam kalangan 33 pengadil itu.

Sementara itu, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rashid pula tersenarai dalam kalangan 37 penolong pengadil Piala Asia yang akan dilangsungkan di Qatar – venue Piala Dunia 2022.

Menariknya, saingan Piala Asia pada kali ini akan turut menampilkan pengadil wanita buat julung kalinya apabila AFC turut menyenaraikan Yoshimi Yamashita dari Jepun untuk bertugas.

Untuk pengetahuan semua, saingan Piala Asia edisi ke-18 ini akan turut menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) sepenuhnya selepas menggunakan dengan jayanya bermula peringkat suku akhir pada edisi lalu di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam senarai itu, nama bekas pengadil kebangsaan yang pernah bertugas sebagai pengadil keempat di Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, Subkhiddin Mohd Salleh turut tersenarai selaku Pakar Teknikal.

Manakala seorang individu dari Malaysia iaitu Ravichandran Chappanimutu pula dipilih sebagai Instruktor Kecergasan.

Komen