Artikel

Huawei Watch GT 4 Hadiah Untuk Pemenang Pingat Sukan Asia 2022

Jam tangan pintar Huawei Watch GT 4 menjadi hadiah yang bakal diperolehi oleh para atlet negara sekiranya memenangi sebarang kilauan pingat di temasya Sukan Asia 2022 mahupun Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China.

Pada Isnin lalu, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd diperkenalkan sebagai Penaja Peranti Pemenang Pingat Sukan Asia & Para Asia Hangzhou 2022 dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Susulan pengumuman tersebut, Huawei menerusi satu siaran media mendedahkan akan menghadiahkan model jam tangan pintar yang akan dilancarkan secara global pada 14 September di Barcelona, Sepanyol.

Huawei dalam acara pelancarannya pada tarikh itu memperkenalkan jam tangan pintar baharu yang akan menjadi hadiah buat atlet negara iaitu Huawei Watch GT 4.

Ianya hadir dengan dua variasi saiz iaitu 41mm dan 46mm dengan rekaan feminin dan maskulin masing-masing. Kedua-duanya menggunakan panel AMOLED dengan ciri Always-On Display (AOD).

Dimaklumkan, Huawei Watch GT 4 variasi 41mm mampu bertahan selama tujuh. Manakala variasi 46mm pula dijanjikan ketahanan yang lebih lama iaitu sehingga dua minggu.

Jam tangan pintar ini dilengkapi dengan sensor kesihatan dan kecergasan yang menyokong pemantauan degupan jantung sepanjang hari, SpO2, analisa tidur, tahap stress dan pemberitahuan kesihatan. 

Antara lain, Huawei Watch GT 4 turut menawarkan fungsi pemantauan kesihatan wanita yang dipertingkatkan dengan kemampuan menganalisis pelbagai respon fisiologi pemakainya dengan lebih baik – kadar denyutan jantung semasa tidur, suhu badan, kadar penafasan serta anggaran tempoh ovulasi.

Untuk makluman semua, Kontinjen Malaysia yang dianggotai 289 atlet dan 189 pegawai akan turun berjuang di temasya Sukan Asia edisi ke-19 bermula 23 September hingga 8 Oktober kelak.

Chef De Mission (CDM) ke Sukan Asia, Dato’ Chong Kim Fatt dalam sidang media baru-baru ini meletakkan sasaran untuk memungut 27 pingat tanpa mengkhususkan sebarang kilauan warna buat Kontinjen Malaysia. 

Sementara itu, Kontinjen Para Malaysia akan turun beraksi di Sukan Para Asia edisi ke-9 bermula 22 hingga 28 Oktober nanti dengan kekuatan seramai 115 atlet dan 43 orang pegawai.

komen