Walker Kekal Bersama Man City Sehingga Usia 36 Tahun
September 15, 2023 Hafizuddin Omar

Pertahanan kanan kelahiran England, Kyle Walker akan terus kekal bersama Manchester City (Man City) sehingga dirinya berusia 36 tahun.

Ini selepas majikannya, Man City yang berjulukan The Cityzen mengesahkan melanjutkan kontrak Walker selama dua tahun – sehingga musim panas 2026.

“Saya teruja untuk menandatangani perjanjian baharu. Masa depan saya adalah bersama Manchester City dan ia merupakan perkara terbaik buat saya,”

“Saya menikmati setiap detik sejak enam tahun lalu di kelab hebat ini. Saya mempunyai jurulatih yang mengagumkan, rakan sepasukan yang handal dan staf serta penyokong-penyokong yang terbaik, saya rasa dihargai pada setiap peringkat,” katanya.

Tambahnya lagi, kemenangan tiga kejuaraan pada musim lalu adalah sesuatu yang tidak akan dilupakannya dan bersedia untuk berjuang dan cub memenangi lebih banyak trofi.

“Saya berbesar hati untuk terus bersama kelab yang bersaing untuk trofi pada setiap tahun dan saya tidak sabar untuk melihat apa yang akan hadir dalam tahun-tahun mendatang.” tambahnya.

Sebagai rekod, Walker mula menyertai Man City pada musim panas 2017. Sejak daripada itu, Walker telah tampil sebanyak 260 kali, menjaringkan enam gol serta mencipta 18 bantuan gol.

Antara kejuaraan yang telah dirangkulnya ketika bersama Man City Liga Perdana Inggeri (5 kali), Piala FA (2 kali), Piala Liga (4 kali), Perisai Komuniti (2 kali) serta Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Super UEFA sebanyak satu kali masing-masing.

Featured Image: Manchester City

Komen