Terbuka Hong Kong: Pearly-Thinaah Jumpa Beregu No.2 Thailand Peringkat Separuh Akhir
September 15, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Hong Kong – Jelajah Dunia BWF Super 500.

Ini merupakan kemaraan pertama selepas hampir empat bulan buat Pearly-Thinaah yang kini menghuni ranking kesepuluh dunia ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan antarabangsa yang disertainya.

Kemaraan tersebut sekaligus menemukannya dengan beregu No.2 Thailand, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard untuk merebut tempat ke peringkat akhir pada Ahad nanti.

Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah pernah berentap menentang pasangan adik beradik yang berada di ranking kesebelas dunia sebanyak satu kali sebelum ini.

Pertemuan itu berlangsung di Terbuka Thailand 2021 yang menyaksikan Pearly-Thinaah meraih kemenangan dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-17 dalam tempoh masa 29 minit sahaja.

Terdahulu, Pearly-Thinaah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir setelah berjaya menumpaskan beregu wanita No.1 Thailand, Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai di peringkat suku akhir, tengah hari tadi.

Gandingan kesembilan dunia itu terpaksa akur tumpas di tangan Pearly-Thinaah menerusi tiga set permainan yang berlangsung sengit dengan skor 15-21, 21-14 dan 21-19 dalam tempoh satu jam dan enam minit. 

Kekalahan itu menjadikan Pearly-Thinaah kini melebarkan rekod kemenangan kepada lima kali berturut-turut ke atas Jongkolphan-Rawinda di pentas antarabangsa.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen