Malaysian Football League (MFL) tampil melancarkan jelajah trofi berprestij, Jelajah Piala Malaysia bertempat di lima cawangan AEON BiG bermula 15 September hingga 3 Disember 2023.
Menerusi jelajah ini, para peminat bola sepak tempatan boleh melihat dengan dekat trofi bagi kejohanan tertua di asia disamping melibatkan diri dalam permainan interaktif dan aktiviti menarik bersama rakan kongsi MFL – Pos Malaysia, AEON BiG, Minyak Masak ALIF dan BubblesO2.
Selain itu, peminat juga boleh menjangkakan sesi bertemu dan bersalaman dengan pemain kegemaran mereka di setiap lokasi jelajah.
“Kami menggalakkan peminat bola sepak untuk merebut peluang menyaksikan trofi Piala Malaysia yang disanjungi, yang kaya dengan sejarah.
“Dahulunya dikenali sebagai Piala HMS Malaya, kejohanan itu bermula pada 1921 dan dinamakan semula sebagai Piala Malaysia pada 1967.
“Semasa Jelajah Piala Malaysia, peminat boleh melihat trofi kedua yang digunakan untuk kejohanan itu sejak 1978.” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam.
Untuk makluman semua, jelajah ini bermula di AEON Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur (15-17 September).
Ianya akan disusuli di AEON Big Falim, Ipoh (22-24 September), AEON BiG Kuantan, Pahang (20-22 Oktober) dan AEON BiG Shah Alam atau Klang, Selangor (3-5 November).
Akhir sekali, jelajah ini akan menutup tirainya di AEON BiG Batu Pahat, Johor (1-3 Disember).
Sebagai tambahan, saingan Piala Malaysia 2023 telah memasuki peringkat suku akhir yang melibatkan Negeri Sembilan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah, Perak, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur City dan Sri Pahang.