Perseorangan badminton lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong berhasil menempatkan dirinya di peringkat separuh akhir Terbuka Hong Kong 2023.
Menantinya di peringkat tersebut untuk merebut tiket ke perlawanan akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini adalah pemain Indonesia yang menghuni ranking keenam dunia, Jonatan Christie.
Berdasarkan rekod, Tze Yong yang kini di tangga ke-20 dunia sudah pernah berentap sebanyak tiga kali di pentas antarabangsa.
Daripada tiga pertarungan terbabit, Tze Yong hanya pernah meraih satu kemenangan ke atas Jonatan iaitu dalam pertemuan terakhir mereka yang berlangsung di Terbuka Australia pada bulan lalu.
Mengimbau kembali pertarungan itu, Tze Yong berjaya meraih kemenangan dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 22-20 dan 21-15 dalam tempoh masa 50 minit.
Terdahulu, Tze Yong mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Terbuka Hong Kong selepas menumpaskan pemain Denmark, Magnus Johannesen di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Pertarungan itu menyaksikan Tze Yong menumpaskan pemain No.32 dunia terbabit secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-12 dalam tempoh masa 46 minit.
Featured Image: Badminton Association of Thailand